Friday, February 17, 2012

Berkenaan Ayat Mutasyabihat

Thursday, February 9, 2012

Antara Ibu dan Bapa...

Wahai anak-anak!, berbakti kepada ibu lebih berganda pahala daripada berbakti kepada ayah. Pepatah pun ada mengatakan, kasih ibu membawa ke Syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Berkata seorang kepada Nabi s.a.w: Maksudnya: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu”. (Hadis sahih Riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim ; lafaz Bukhari hadis no 5971)

Hadis diatas mengandungi pengertian dan penghayatan yang luas dan mendalam. Anak-anak tidak seharusnya  mengambil mudah dalam memahami hadis tersebut. 

Hak seorang ibu yang melebihi hak bapa adalah mungkin kerana apa yang telah seorang ibu terpaksa tanggung dan deritai sepanjang tempoh kehamilan dan membesarkan seorang anak, seorang ibu terpaksa melalui pelbagai rintangan sepanjang tempoh kehamilan, menjadi lemah kerana menanggung  bayi di dalam rahimnya. Begitu juga sepanjang tempoh menyusu, waktu rehat ibu tertangguh dek tangisan si bayi yang tidak mengira waktu. Ayah pula bertanggungjawab selepas itu yakni sama-sama membesarkan anak, memberi pendidikan dan nafkah.

Pendapat lain:  Kedua-duanya sama,hak ibu dan bapa adalah sama.pendapat ini adalah menurut sebuah hadis:
معاوية بن جاهمة قال:أتيت النبي صلى الله عليه وسلم فقلت:يا رسول الله إني كنت أردت الجهاد معك ابتغي بذالك وجه الله والدار الاخرة ,قال : ويحك أمك؟قال نعم,قال أرجع فبرها
Maksudnya: Mu’awiyah bin Jahimah berkata, Aku bertemu Rasulullah solallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku ingin mengikuti berjihad bersamamu Rasulullah untuk mencari darinya itu wajah Allah dan negeri Akhirat. Rasulullah lalu bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda:“Pulanglah kepadanya dan berbaktilah kepadanya.”(Hasan Sahih; Dikeluarkan oleh Imam an-Nasai , hadis no 3104)

Janganlah kita memahami bahawa berbakti dan kasih sayang anak-anak terhadap bapa tidak perlu atau kurang perlu, atau apabila anak-anak sudah besar dan berkerja, maka mengabaikan tanggungjawab terhadap bapa.

Wahai anak-anak, jangan jadikan hadis diatas sebagai alasan untuk kita membeza-bezakan kebaktian dan penghormatan serta tanggungjawab kita terhadap ibubapa, atau merasakan serbasalah, siapa yang nak diutamakan, ibu atau bapa.
 
Wahai anak-anak, kita manusia sebagai makhluk Allah yang istimewa yang di cipta, hendaklah sedar dan insaf, bahawa berbakti kepada kedua ibubapa serta menghubung silatur-rahim, menunai hak-hak keluarga rumahtangga, anak isteri, bersikap mulia terhadap jiran-tetangga, kawan-rakan, dan sekalian kaum Muslimin, semua itu adalah diantara tugas yang diperintah oleh Allah Ta'ala, digesa dan dituntut, digalakan dan dianjurkan. Sebaliknya Allah Ta'ala mengancam orang-orang yang mensia-siakannya atau membelakanginya.

Berbakti kepada ibu dan bapa wajib keatas semua yang bergelar anak. Allah mewajibkannya sebagaimana Allah mewajibkan solat dan puasa walaupun kedua ibu bapa itu kafir, sebagaimana Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: "Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." (Surah Luqman:15)

Tanggungjawab seorang bapa  kepada kelurganya adalah amat besar. Seorang bapa harus mengurus segala hajat dan keperluan anak-anak selagi mereka memerlukannya. Selain itu tugas seorang bapa mesti mendidik dan memberi pendidikan anaknya, mengurus segala urusan hidupnya, membimbingnya kepada akhlak yang terpuji dan kelakuan yang baik serta perangai mulia, selain itu memelihara dan menjauhi mereka dari perkara yang sebaliknya.

Sebelum itu, tugas bapa ialah untuk memberi anak nama yang baik, memilih isteri dari keturunan orang-orang yang beragama dan berbudi pekerti mulia, supaya menjadi isteri yang sentiasa taat kepada suami dan ibu yang diberkati kepada anaknya kelak.
Nabi s.a.w. ada bersabda:

(تخيَّروا لنطفكم)[1]

Maksud: Pilihlah isteri yang sesuai untuk benih-benih kamu (anak-anak).



Firman Allah (al-Isra':23-24):
 
bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil".

Firmanya lagi (Luqman: 14)
 
bermaksud: "Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

FirmanNya lagi (an-Nisa':36):

Maksudnya: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,"
FirmanNya lagi (al-Ahkaf:15):
Maksudnya: "Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang shaleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".

Berkata Abdullah Bin Mas'ud r.a: Saya pernah bertanya kepadaRasulullah s.a.w., kataku: "Amalan yang mana satu yang lebih dicintai Allah? Jawab baginda:Sembahyang pada waktunya. Tanyaku lagi: Sesudah itu apa lagi? Jawab baginda: Berbakti kepada kedua ibubapa. Tanyaku lagi: Sesudah itu apa lagi? Jawab baginda seterusnya: Berjihad (berjuang) fi sabilillah.(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabdanya lagi: "Tiga perkara tidak ada guna amalan bersamanya, iaitu: Mensyirikkan Allah, menderhaka kepada kedua ibubapa dan lari dari medan pertempuran."(Nasihat Agama dan Wasiat Iman:286)

Sabdanya lagi: "Dosa yang paling besar ialah tiga: Mensyirikkan Allah, menderhakai kedua ibu bapa dan bersaksi dusta."(Nasihat Agama dan Wasiat Iman:286)

Sabdanya lagi: "Celaka (terhina) orang yang mendapati kedua ibubapanya atau salah seorang diantara keduanya pada umur tua, sedang mereka menyebabkannya tidak dapat masuk syurga."(Nasihat Agama dan Wasiat Iman:287)

Maksudnya ia tidak berbakti kepada mereka, sehingga perkara itu menghalangnya dari dapat masuk syurga. Dikhususkan kebaktian pada umur tua di sini, ialah kerana biasanya kedua ibubapa itu sangat mengharapkan bantuan dan pemeliharaan daripada anak-anaknya pada masa tersebut, agar mereka dapat dibela dan dipenuhi segala hajat dan keperluan pada ketika itu lebih banyak dari masa mereka masih muda. Wallahu-a'lam.(Nasihat Agama dan Wasiat Iman:287)

Wahai ibubapa,
Kasih bapa sepanjang masa, selagi hayat dikandung badan. Kerjasama antara ibu dan bapa tidak pernah putus dalam membentuk kepribadian Islam terhadap anak-anak, semenjak dari merancang perkahwinan lagi.

Terlebih dahulu, keperibadian Islam hendaklah diresapi oleh ibubapa itu sendiri, demi untuk mendapat anak yang keperibadian Islam. Ibubapa dirasakan perlu dan patut untuk membantu anak-anak mereka supaya berbakti kepada mereka sendiri.

Iaitu dengan memaafkan kesalahan-kesalahan anak-anak itu, tidak terlampau menekan mereka untuk menjalankan tugas dan kewajipan dan terlalu strict order (perentah secara paksaan), terutama sekali pada zaman ini, dimana kebaktian dan orang-orang yang gemar berbakti amat sedikit bilangannya, manakala penderhakaan dan orang-orang yang menderhaka amat banyak bilangannya.

Oleh itu jika ibubapa segera memaafkan kesalahan-kesalahan anak-anak itu, samalah seperti kita telah menyelamat dan melepaskan mereka dari dosa menderhakai kita, yang boleh menyebabkan mereka menerima balasan berat di dunia dan akhirat. 

Di samping itu kita memperoleh pahala dari Allah Ta'ala dan balasannya yang mulia, yang lebih utama dan lebih sempurna, lebih baik dan lebih kekal dari pahalanya kebaktian anak-anak itu terhadap ibubapa. 

Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Allah mengurniakan rahmat kepada seorang ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepadanya sendiri."(Nasihat Agama dan Wasiat Iman:290)

Penting juga disini ialah, seorang bapa hendaklah bersikap kesamarataan dalam apa-apa pemberiannya kepada anak-anak. Memperelok perangai dan pendidikan mereka, supaya mereka sentiasa gemar berbuat baik, mengenal tugas dan kewajiban, dan memuliakan semua perentah dan larangan agama, disamping memperkecilkan urusan keduniaan (amalan ke-berhalaan) dan melebihkan urusan keakhiratan (amalan ke-Tuhanan). 

Firman Allah, surah Annur ayat 37-38 maksudnya ‘(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.’(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung."
 * (Yakni meskipun mereka menjalankan perniagaan tetapi perniagaan mereka (dan kerja-kerja mereka)  tidak melalaikan mereka daripada mengerjakan sembahyang pada waktunya dan memberi zakat untuk kebajikan masyarakatnya yang memerlukan bantuan.)
  ** (Kerana keadaan di Padang Mahsyar menjadikan orang yang menyaksikannya: cemas dan bimbang.)

Zaman ini, kita dapati banyak anak-anak yang menderhakai dan tidak mahu mendengar cakap kedua ibubapa di mana-mana, yang mana kita selidiki sebabnya ialah kecuaian ibubapa sendiri, yang mensia-siakan tanggungjawabnya dan tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar. Wallahu-a'lam. 


Search 2.0